Penubuhan Majlis Mukim Ulu Kinta Mukim_Hulu_Kinta

Majlis Mukim Ulu Kinta merupakan Majlis Mukim yang pertama telah ditubuhkan di Ulu Kinta, Perak. Kenyataan ini telah dibuat dalam satu mesyuarat peringkat Pejabat Daerah di Ipoh oleh Encik J.S.H. Cunyngham-Brown. Beliau juga merupakan seorang Pegawai Daerah di Kinta dan telah mempengerusikan mesyuarat tersebut. Setelah mesyuarat berakhir, seramai 18 orang Pemimpin dan Ketua Kampung masyarakat tempatan yang terdiri daripada 8 orang Melayu, 8 orang Cina dan 2 orang India telah berkumpul untuk diberi taklimat dan penerangan mengenai penubuhan Majlis Mukim tersebut. Encik Cunyngham-Brown menerangkan matlamat utama penubuhan tersebut dilakukan ialah untuk mewujudkan kerjasama demi kepentingan masyarakat tempatan dan mengambil alih tugas-tugas Penolong Pegawai Daerah secara berperingkat-peringkat. Beliau juga memberitahu kawasan Ipoh dan Menglembu tidak dijadikan Majlis Mukim kerana ia akan diberikan taraf Perbandaran. Jawatankuasa Kecil juga akan dibentuk meliputi bandar-bandar lain dalam daerah berkenaan dan tertakluk di bawah pentadbiran atau bidang kuasa Majlis tersebut. Sesungguhnya dengan penubuhan Majlis Mukim yang pertama di Ulu Kinta pada hari ini dalam tahun 1952, merupakan satu era baru kepada mukim tersebut dan dapat memberi galakan kepada masyarakat tempatan dalam melaksanakan aktiviti harian mereka.[2]